Wednesday, June 19, 2013

Jalan-jalan Suka Hati 1 -Ipoh-

Yeay!! Jalan-jalan lagi! Kalau biasanya kami bercuti bersama rakan-rakan atau keluarga, namun kali ini aku dan hubby pertama kalinya bercuti bersama-sama buah hati hati pengarang jantung kami Dahlia Qistina. Jadi kami boleh pergi mana-mana ikut suka, berhenti mana-mana ikut suka, tidur dan makan mana-mana ikut suka juga. Hooray!!

Destinasi percutian kami kali ini adalah negeri Perak Darul Ridzuan. Kami bangun awal pagi, bersiap dan terus bergerak memandu ke utara melalui Lebuhraya Utara-Selatan sambil menikmati udara segar di waktu pagi.

Asalnya kami merancang untuk bermalam di Kuala Gula sekaligus menjamu selera menikmati kelazatan Ketam Lembut masak tiga rasa yang boleh didapati di sana tetapi keterujaan kami terbantut seketika kerana penginapan chalet di Kuala Gula telahpun penuh sempena musim cuti sekolah yang masih bersisa.

Dalam kehampaan kami mencari lokasi lain untuk kami terokai. Tidak mahu keterujaan kami terus-terusan terbantut, kami meneruskan pemanduan ke Ipoh untuk menikmati kelazatan Nasi Vanggey yang menjadi buah mulut orang. Singgah seketika di R&R untuk minum pagi. Wah sempat jugak merasa gulai ikan patin yang memang terkenal di sekitar Perak dan Pahang. Usai minum pagi dan memandikan Dahlia, kami teruskan lagi perjalanan ke Ipoh. Terima kasih kepada GPS kami yang terus membawa kami ke lokasi kedai Nasi Vanggey. Memang ramai pelanggan yang sedang menjamu selera apatah lagi di waktu puncak kira-kira jam 12.30 minit tengahari. Ha.. nak peneke nasi vanggey ni kena beratur panjang dahulu kerana ramai yang ingin menikmatinya. Kata orang, memang tak sah kalau ke Ipoh tapi tak pekena nasi vanggey. Alhamdulillah, kami telahpun merasai pengalaman menikmati Nasi Vanggey ini. Lokasi seterusnya ialah check inn hotel untuk istirehat setelah letih memandu tambahan pula bahang mentari yang menggigit tidak mengizinkan kami untuk melakukan sebarang aktiviti luar.

Kami memilih untuk menginap di Art Cottage Hotel, sebuah hotel baru yang bersih, cantik dan selesa. Tatkala sampai sahaja di bilik, rasanya Dahlia lah yang paling teruja untuk bergolek-golek di atas katil yang putih bersih. Ahh... alangkah leganya dapat istirehat walaupun Dahlia sibuk tarik wayar telefon, tarik tisu, baling kasut dan selipar hehehehe



Setelah melepaskan lelah, kami keluar jalan-jalan menikmati udara segar sambil menikmati keindahan alam di Taman Tasik Dr. Seenivasagam atau dahulunya dikenali sebagai Coronation Park. Seronok melihat dan melayan keletah anak kecil kami Dahlia dapat berjalan bebas dan meneroka alam sekitar. Detik2 berharga kami bersama Dahlia tidak hanya terakam di kotak ingatan tetapi turut kami abadikan dengan rakaman foto yang boleh kami tunjukkan kepadanya suatu hari nanti.



Sepetang bersama Bie dan Dahlia cukup menbuatkan hatiku girang hingga tidak sedar senja merangkak tiba. Mentari kian tenggelam di ufuk barat lantas kami masuk semula ke kereta jalan-jalan mencari lokasi makan malam. Oleh kerana ini pertama kali kami singgah bermalam di Ipoh dan tak tahu mana restoran yang terkenal, maka kami ambil keputusan untuk singgah makan di Restoran Sabar Menanti. Alhamdulillah tidaklah sampai menduga kesabaran kami menanti makanan dihidangkan. Suasana tenang dan masakannya juga boleh tahan jadi lain kali bolehlah singgah lagi ke sini. Selesai makan, kami habiskan aktiviti malam di Ipoh berehat di Bilik Hotel sahaja sambil menonton TV dan mengunyah kudapan yang dibeli.


Gambar Bie & Dahlia di atas aku rakamkan sementara menanti ketibaan makanan yang dipesan di Restoran Sabar Menanti

Esoknya, terjaga sahaja dari lena kami tidak terus bingkas malah lepak-lepak lagi bawah selimut. Haa.... seronoknya!!! Okay takleh lepak bawah selimut lama sangat sebab perut sudah mula meberi isyarat minta mahu diisi.

Kami singgah makan tengahari di Restoran Simpang Tiga yang terletak di tengah2 bandaraya Ipoh. Masakannya sedap dan harga juga berpatutan dengan suasana restoran yang selesa. Boleh singgah lagi lain kali.

Selepas makan, kami teruskan perjalan kami ke Kuala Kangsar Pula =)


2 comments:

  1. i'm waiting for ue post on Kuala Kangsar pula.. hehe..

    ReplyDelete
  2. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete