Monday, December 22, 2008

Anniversary..


Sedar tak sedar telah lebih setahun usia pernikahan kami. Syukur ke hadrat Ilahi kerana kebahagiaan sentiasa melingkari kehidupan biarpun dalam tempoh itu pelbagai dugaan telah kami tempuhi..
Kehilangan anakanda tersayang merupakan saat paling getir dalam percintaan kami. Namun segalanya kami terima dgn redha kerana kami tahu Allah lebih mengetahui segala yang terbaik untuk kami..
Biarpun 2 kali buah cinta yang bersemi gugur sebelum masanya namun pohon cinta kami tetap subur dan utuh sekalipun dilanda badai kehidupan..
Mawar cintaku kian mekar hari demi hari dibajai belaian dan kasih sayang yang tulus ikhlas dari suami tersayang..
Kini benih cinta yang disemai sekali lagi membesar didalam rahimku menanti masa untuk lahir menjadi buah cinta kami. Semoga sempurna sifatnya, mulia hatinya, sihat tubuhnya, bijaksana akalnya serta beriman dirinya..
Untuk suami tercinta Shamsir Firdhaus:
"Bie, terima kasih kerana membahagiakan manje.. Semoga mawar cinta yang bersemi ini akan terus subur hingga ke syurga dimana cinta kita abadi selamanya.."


Syawal menjelma lagi..

Namun, Syawal kali ini begitu berbeza sekali dgn yang sebelum ini kerana buat pertama kalinya aku merayakannya bersama suami tercinta..

Ku layangkan sekeping kad ucapan tulus dari hati buat Bie di pagi hari.. Memohon seribu kemaafan dari segala dosa dan melaluinya juga ku hulurkan kemaafan. Semoga kebahagiaan ini berkekalan..

Pertama kali juga Bie membayar zakat fitrah untuk isterinya. Biarpun sedikit jumlahnya namun maknanya begitu mendalam buat kami.

Lantas terus menuju ke kampung halaman ku di Nilai bertemu keluarga dan sanak-saudara yang sedia menanti. Meriahnya Syawal mula terasa tatkala tiba di kampung menghirup udara nyaman di pagi Syawal bersama2 kaum keluarga..

Bie terus ke surau untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sementara aku bertukar khabar berita bersama sanak saudara.

Perut mula mendendangkan lagu raya menanti Bie pulang dari surau untuk makan bersama.. Segalanya terhidang di hadapan mata. Rendang, ketupat, lemang, kuah kacang, kek dan macam2 lagi..

Ayahpun telah kembali dari surau. Masa untuk bersalaman dgn ibu ayah memohon keampunan dan menghulurkan duit raya.. Senyuman yang terukir di wajah ayah ibu tatkala menerima angpow raya, begitu bahagia ku rasakan..
Tiba pula masanya bertemu abah dan induk untuk memohon maaf serta menghulurkan duit raya.. Juadah masakan induk serta lemang yang abah bakar terasa begitu menyelerakan namun tiada tempat lagi yang boleh diisi. Biarlah dahulu..

Aku dan Bie terus sahaja menuju je pusara arwah anak perempuan kami Umi Latifah yang disemadikan di kampung bersama2 pusara arwah atuk. Oh, sayunya terasa di sudut hati tatkala berada di pusara arwah Umi Latifah. Namun aku bersyukur kerana aku tahu dia dalam pelihara Allah di Syurga..

Ibu dan ayah begitu merinduimu sayang.. Hanya Al-Fatihah sahaja yang dapat ibu dan ayah hadiahkan di pagi Syawal ini..

Pulang dari ziarah pusara barulah kami menikmati juadah enak di rumah induk. Hanya seketika sahaja dapat kami bersama abah dan induk kerana mentari semakin tinggi. Kami harus bertemu mak dan abah Bie pula di Seremban.

Setelah selesai segalanya, pukul 2.30pm akupun menuju ke Kompleks Penyiaran RTM untuk berugas di udara menemani pendengar2 yang ingin berhibur di hari lebaran ini hingga jam 6 ptg..

Kini, mentari satu Syawal mula tenggelam sedikit demi sedikit.. Biarpun satu Syawal telah berlalu namun ia sebenarnya adalah permulaan bagi Aidilfitri yang akan diraikan dengan tradisi kunjung-mengunjung sesama keluarga dan teman-teman..
Ia juga merupakan pengalaman baru yang menyeronokkan kerana pertama kali teman2 dan sanak-saudara berkunjung ke tearak kami sendiri. Aidilfitri ini begitu meriah dan syukur ku rasakan.

Aku ingin meraikan Aidilfitri bersama Bie biarpun seribu tahun lagi..

Friday, December 19, 2008

Anakku..

Anakku..
Ibu tak tahu ke manakah harus ibu alamatkan warkah buatmu ini kerana kini kau telah berada di syurga..


Anakku,
Ibu terlalu merinduimu biarpun pertemuan kita hanya seketika cuma. Ibu mohon maaf sayang kerana mungkin apa yang berlaku berpunca dari kelalaian ibu sendiri biarpun selanjutnya merupakan suratan Ilahi..


Anakku..
Pada hari air ketuban ibu pecah, sedikitpun ibu tidak merasa kesakitan jauh sekali menyangka sesuatu yang buruk bakal berlaku padamu. Namun setelah doktor menerangkan segala komplikasi yang akan berlaku padamu akibat dari air ketuban yng kian berkurangan, ibu tidak dapat berkata-kata lagi. Hanya air mata yg mengalir menjelaskan pada ayahmu yang menanti di luar ttg sesuatu yg serius akan berlaku padamu.


Petang itu juga ibu dimasukkan ke wad dan ibu mula demam pada malam tersebut membayangkan bahawa jangkitan kuman kian merebak. Ibu cuba bertahan kerana ibu tahu yang anak ibu lebih lemah berbanding ibu. Ibu pasrah atas setiap usaha yang pihak hospital lakukan walau seperit manapun asalkan kita berdua dapat selamat. Tidak putus2 doa ibu pada Ilahi. Namun ibu mula merasai kontraksi sejak tengahari esoknya manakala ujian darah serta air kencing membuktikan jangkitan kuman kian parah. Betapa luluhnya hati ibu apabila doktor menyatakan betapa kau tidak dapat diselamatkan lagi. Ibu harus dimasukkan ke wad bersalin.

Anakku..
Apa yang mengejutkan ibu dan ayah ialah tatkala ibu merasakan gerakanmu sebelum ke bilik bersalin. Sejak semalam ibu tidak dapat merasakan gerakanmu kerana kau terlalu lemah. Alangkah hancurnya hati ibu dan ayah kerana gerakanmu kali yang terakhir itu bagai mengucapkan selamat tinggal pada kami..


Anakku..
Apa yang lebih menyukarkan ibu adalah untuk meyakinkan ayahmu bahawa kau tidak akan dapat hidup setelah dilahirkan namun ayah tetap juga berharap biarpun dapat mendengar tangisanmu hanya sekali. Ternyata dia sukar menerima hakikat yang kau tidak akan dapat bersama kami di dunia ini.
Jam 9 malam, Jumaat 22 Rejab ibu melahirkanmu sayang dengan ditemani ayahmu yang berada disisi ibu tatkala itu. Biarpun hayatmu tidak lama dan ayah tidak dapat mendengar tangisanmu namun sekurang2nya dia dapat melihat kau menggerak-gerakkan kaki tanganmu selepas dilahirkan. Hatinya begitu girang kerana menyangkakan kau telah selamat lalu memberitahu berita gembira tersebut pada insan2 yg rapat dengannya. Alangkah luluh hatinya apabila dia masuk semula untuk melihatmu, kau telah pulang ke pangkuan Ilahi..

Wajahmu persis wajahnya yang tenang dalam tidur. Parasmu begitu indah sekali tatkala ayah dan ibu merenungmu buat kali terakhir. Kami kucup wajahmu dgn penuh rasa cinta dan kehibaan sebelum melepaskanmu pergi..

Anakku..
Kau selamat dikebumikan oleh ayahmu dan keluarga ibu pada pagi esoknya sedangkan ibu masih di hospital. Biarpun ibu dan ayah tidak dapat hidup bersamamu di dunia ini, kami redha kerana jika sekalipun kau selamat, hidupmu tidak akan normal seperti insan lain. Jadi Allah lebih menyayangimu kerana itu kau terus diangkat ke syurga.


Anakku..
Terasa bagai mimpi atas segala apa yang berlaku kerana baru beberapa hari lepas ibu dan ayah tertawa girang merasakan kau bemain2 dalam rahim ibu tetapi kini yang tinggal hanyalah ruangan kosong yang sepi..


Anakku..
Ibu menamakanmu dengan nama Umi Latifah. Sebuah nama yang cukup indah, seindah parasmu sayang. Sejak lama dulu Ibu sering membayangkan bagaimana agaknya sifat seseorang yang akan ibu lahirkan dengan nama Umi Latifah. Kini, persoalan itu terjawab kerana rupa-rupanya kau ditakdirkan untuk menjadi bidadari syurga menanti ayah dan ibumu di sana..


Anakku..
Biarpun kau jauh di sana, namun doa ibu dan ayah terhadapmu tidak akan pernah putus dan semoga kau akan dapat merasakan kasih sayang kami dari jauh..


Selamat tinggal anakku sayang. Abadilah kau di dalam taman syurga di sisi Yang Maha Esa…