Friday, December 19, 2008

Anakku..

Anakku..
Ibu tak tahu ke manakah harus ibu alamatkan warkah buatmu ini kerana kini kau telah berada di syurga..


Anakku,
Ibu terlalu merinduimu biarpun pertemuan kita hanya seketika cuma. Ibu mohon maaf sayang kerana mungkin apa yang berlaku berpunca dari kelalaian ibu sendiri biarpun selanjutnya merupakan suratan Ilahi..


Anakku..
Pada hari air ketuban ibu pecah, sedikitpun ibu tidak merasa kesakitan jauh sekali menyangka sesuatu yang buruk bakal berlaku padamu. Namun setelah doktor menerangkan segala komplikasi yang akan berlaku padamu akibat dari air ketuban yng kian berkurangan, ibu tidak dapat berkata-kata lagi. Hanya air mata yg mengalir menjelaskan pada ayahmu yang menanti di luar ttg sesuatu yg serius akan berlaku padamu.


Petang itu juga ibu dimasukkan ke wad dan ibu mula demam pada malam tersebut membayangkan bahawa jangkitan kuman kian merebak. Ibu cuba bertahan kerana ibu tahu yang anak ibu lebih lemah berbanding ibu. Ibu pasrah atas setiap usaha yang pihak hospital lakukan walau seperit manapun asalkan kita berdua dapat selamat. Tidak putus2 doa ibu pada Ilahi. Namun ibu mula merasai kontraksi sejak tengahari esoknya manakala ujian darah serta air kencing membuktikan jangkitan kuman kian parah. Betapa luluhnya hati ibu apabila doktor menyatakan betapa kau tidak dapat diselamatkan lagi. Ibu harus dimasukkan ke wad bersalin.

Anakku..
Apa yang mengejutkan ibu dan ayah ialah tatkala ibu merasakan gerakanmu sebelum ke bilik bersalin. Sejak semalam ibu tidak dapat merasakan gerakanmu kerana kau terlalu lemah. Alangkah hancurnya hati ibu dan ayah kerana gerakanmu kali yang terakhir itu bagai mengucapkan selamat tinggal pada kami..


Anakku..
Apa yang lebih menyukarkan ibu adalah untuk meyakinkan ayahmu bahawa kau tidak akan dapat hidup setelah dilahirkan namun ayah tetap juga berharap biarpun dapat mendengar tangisanmu hanya sekali. Ternyata dia sukar menerima hakikat yang kau tidak akan dapat bersama kami di dunia ini.
Jam 9 malam, Jumaat 22 Rejab ibu melahirkanmu sayang dengan ditemani ayahmu yang berada disisi ibu tatkala itu. Biarpun hayatmu tidak lama dan ayah tidak dapat mendengar tangisanmu namun sekurang2nya dia dapat melihat kau menggerak-gerakkan kaki tanganmu selepas dilahirkan. Hatinya begitu girang kerana menyangkakan kau telah selamat lalu memberitahu berita gembira tersebut pada insan2 yg rapat dengannya. Alangkah luluh hatinya apabila dia masuk semula untuk melihatmu, kau telah pulang ke pangkuan Ilahi..

Wajahmu persis wajahnya yang tenang dalam tidur. Parasmu begitu indah sekali tatkala ayah dan ibu merenungmu buat kali terakhir. Kami kucup wajahmu dgn penuh rasa cinta dan kehibaan sebelum melepaskanmu pergi..

Anakku..
Kau selamat dikebumikan oleh ayahmu dan keluarga ibu pada pagi esoknya sedangkan ibu masih di hospital. Biarpun ibu dan ayah tidak dapat hidup bersamamu di dunia ini, kami redha kerana jika sekalipun kau selamat, hidupmu tidak akan normal seperti insan lain. Jadi Allah lebih menyayangimu kerana itu kau terus diangkat ke syurga.


Anakku..
Terasa bagai mimpi atas segala apa yang berlaku kerana baru beberapa hari lepas ibu dan ayah tertawa girang merasakan kau bemain2 dalam rahim ibu tetapi kini yang tinggal hanyalah ruangan kosong yang sepi..


Anakku..
Ibu menamakanmu dengan nama Umi Latifah. Sebuah nama yang cukup indah, seindah parasmu sayang. Sejak lama dulu Ibu sering membayangkan bagaimana agaknya sifat seseorang yang akan ibu lahirkan dengan nama Umi Latifah. Kini, persoalan itu terjawab kerana rupa-rupanya kau ditakdirkan untuk menjadi bidadari syurga menanti ayah dan ibumu di sana..


Anakku..
Biarpun kau jauh di sana, namun doa ibu dan ayah terhadapmu tidak akan pernah putus dan semoga kau akan dapat merasakan kasih sayang kami dari jauh..


Selamat tinggal anakku sayang. Abadilah kau di dalam taman syurga di sisi Yang Maha Esa…

No comments:

Post a Comment