Saturday, January 10, 2009

Bingkisan Untuk Suami..

Sekali lagi aku diduga dengan dugaan yang amat berat untuk ku terima. Semoga keimananku akan terus utuh menerima dugaan ini dengan tabah dan penuh keredhaan.

Hati dan fikiran ligat berfikir akan maksud di sebalik dugaan ini. Kandunganku buat kali yang ketiga mengalami komplikasi. Namun yang pelik, pada awalnya dokor tak nampak akan janin dalam kandunganku biarpun aku disahkan hamil. Bimbang dengan kemungkinan yang kandunganku di luar rahim, aku terus dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Namun doktor masih belum dapat melihat janin dalam kandunganku. Lalu aku ditahan di wad untuk melakukan ujian positif hamil sekali lagi dan ujian darah kerana dibimbangi kandunganku di luar rahim. Berat sungguh perasaan ini menerima kata2 doktor.

Sebelah malamnya, doktor mengatakan hasil ujian darah menunjukkan hormon kehamilanku yang tinggi namun aku harus bersiap sedia untuk melakukan pembedahan untuk membuang janin jika scan yang terakhir oleh doktor pakar masih tidak dapat melihat janin dalam kandungan, maka aku akan disahkan mengandung luar rahim.

Allah sahaja yang maha mengetahui gejolak perasaanku tatkala itu. Sementara menanti kehadiran pakar, aku tak putus2 berdoa dan berzikir memohon pada Allah agar kandunganku ini normal dan sempurna.

Alangkah gembiranya hatiku apabila buat pertama kalinya doktor dapat melihat ada kantung dalam rahimku lantas mengesahkan kandunganku normal & di dalam rahim namun ia sangat kecil kerana dikira baru 4 minggu lebih bukannya 7 minggu seperti yang dijangkakan. Aku memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan kebesaranNya telah menampakkan janin dalam kandunganku. Aku disuruh tinggal di wad 2 hari lagi untuk mengambil sample darah dan scan semula bagi doktor membuat pengesahan bahawa kandunganku benar2 normal.

Namun pada pagi esoknya, doktor yang lain pula mahukan pembedahan kecil dilkukan ke atasku bagi memasukkan kamera ke dalam rahim untuk melihat objek sebenar dalam kandunganku kerana tidak berpuas hati dgn saiz janin. Sekali lagi aku berpuasa dan aku amat terkejut dengan saranan doktor tersebut. Semoga hati ini tabah menjalaninya..

Sebelah petangnya pula sekali lagi aku discan oleh doktor pakar yang lain pula. Kali ini aku terpana sekali lagi apabila hasil scan menunjukkan seolah2 kandunganku tidak normal. Kandunganku dilihat seperti kandungan anggur yang bermakna penyatuan kedua2 benih tidak sempurna maka harus dibuang. Ya Allah, apa sebenarnya yang cuba Kau tunjukkan..

Aku tak dapat lagi membendung kesedihan biarpun hati ini kuat menyatakan agar aku bersabar dan redha dengan segala ketentuanNya..

Tiada lagi senyuman terukir di bibirku. Aku benar2 memerlukan Bie pada saat itu. Alangkah sukarnya untuk mendapatkan zuriat. Sedangkan insan lain yang tidak mahukan zuriat bisa membuang anak merata2 bagaikan membuang anak kucing. Oh.. sabarlah hati..

Ya Allah, ku mohon agar kekeliruan ini akan berakhir dengan kegembiraan. Sesungguhnya demi cinta dan keikhlasanku terhadap suami, aku rela menempuh segala kesakitan dan keperitan demi untuk memberikannya bingkisan yang teristimewa iaitu zuriat yang soleh.

Sejauhmana aku juga inginkan cahayamata yang lahir dari hasil cinta kami, sebenarnya lebih lagi untuk melihat suamiku gembira dengan hadiah ini. Sesungguhnya aku tak sanggup melihat kekecewaan di raut wajah dan hatinya lalu kerana itu, aku sanggup mempertaruhkan nyawa membiarkan diriku hamil lagi dengan harapan semoga kali ini aku dapat melahirkan zuriat yang dinantikan selama ini.

Ya Allah, biarpun aku bukanlah isteri yang sempurna terhadap suamiku, namun aku mencintainya dengan setulus hati dan demi keikhlasan cinta ini, Kau takdirkanlah kandunganku ini sempurna dan dapat lahir ke dunia ini sebagai zuriat yang soleh dan beriman serta sempurna sifatnya.

Kerana ia akan menjadi bingkisan yang paling itimewa buat suamiku..

No comments:

Post a Comment